Keadaan sekitar Pandamaran selepas ribut semalam.
Keadaan sekitar Pandamaran selepas ribut semalam.
PANDAMARAN – Kejadian ribut dan puting beliung kecil yang melanda kawasan Pandamaran, di sini, semalam mengakibatkan beberapa kawasan perumahan terjejas teruk.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 2 petang itu mengakibatkan 30 kediaman mengalami kerosakan termasuk dua blok pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pandamaran Jaya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan di Kunci Air Jalan Banting Pandamaran juga antara yang terjejas teruk dan terdapat banyak pokok besar tumbang selain beberapa bumbung premis dan rumah diterbangkan angin, katanya.

“Beberapa buah bot yang berada di jeti berhampiran turut tenggelam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tidak keadaan ini tidak melibatkan sebarang perpindahan,” jelasnya.

Kamarulzaman berkata, bekalan elektrik turut terputus dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dimaklumkan mengenainya.

“Setakat ini, tiga laporan polis diterima dan orang ramai dinasihatkan supaya peka keadaan cuaca sekali gus lebih berwaspada terutamanya ketika memandu bagi mengelak kemalangan kerana permukaan jalan licin.

“Nelayan yang ingin turun ke laut di saran mendapatkan maklumat cuaca dari jabatan meteorologi terlebih dahulu supaya insiden tak diingini dapat dielak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Lee Fu Haw berkata, penduduk dan orang awam masih trauma setelah berdepan kejadian yang berlaku kira-kira 30 minit itu.

"Walaupun, ribut itu kelihatan seperti puting beliung kecil, ia telah beri impak besar sehingga mampu menerbangkan atap rumah dan atap bangunan," katanya.