Search This Blog

Thursday, October 2, 2014

Penagih muda: Tak serik 7 kali masuk lokap

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
USIANYA baru mencecah 22 tahun, namun seawal itu juga, dia sudah tujuh kali merengkuk dalam lokap disebabkan ketagihan dadah.
Itulah realiti kehidupan dilalui seorang anak muda dari FELDA Bukit Waha, Kota Tinggi selepas terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.
Hanya mahu dikenali sebagai Bob, anak pertama daripada lapan beradik yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan mengakui membelanjakan RM80 hingga RM120 sehari bagi mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.
"Saya perlu kerja untuk dapat wang beli dadah, satu hari dalam dua hingga tiga gram (dadah) untuk dihisap pada sebelah pagi, petang dan malam.
"Gaji RM80 setiap hari cukup-cukup dan hanya akan dihabiskan untuk beli (dadah) heroin atau syabu," katanya ketika ditemui BH Online di Sepang, baru-baru ini.
Bob yang mula menghisap bahan itu pada usia 17 tahun, iaitu selepas tamat persekolahan berkata, beliau pernah berhenti menagih ketika menuntut di sebuah kolej kemahiran di Kulai, Johor, namun akui hanya seketika.
"Habis belajar, saya balik kampung dan daripada situ saya mula mencari dadah lagi, mungkin sebab pujukan kawan-kawan," katanya yang sudah kematian ayah dan tinggal bersama bapa tirinya.
Bob turut mengakui untuk mendapatkan bekalan itu tidaklah sesukar mana, malah stok juga sentiasa tersedia di pasaran.
Sesetengah kawannya juga katanya ada yang menjadi pengedar dan mampu memperoleh pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 sehari dengan menjual bahan terlarang itu.
Sementara itu, seorang lagi rakannya yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 22, dari Changlun, Kedah, menyatakan dia mula terjebak dengan najis dadah sejak di tingkatan tiga.
"Mula-mula itu saja cuba-cuba, masa lepas sekolah hisap sikit, RM10 hingga RM20 sehari, tapi lama-lama gian makin naik, sehari sampai RM120," katanya.
Beliau berkata, gaji RM80 diperoleh setiap hari sebagai pekerja buruh binaan digunakan semula untuk dijadikan pusingan modal menjual dadah.
"Biasa beli dalam lima gram, dua tiga gram akan saya jual balik. Satu straw (alat meletakkan dadah) dijual dengan harga RM25 hingga RM30.
"Permintaan memang sentiasa ada. Sebahagian keuntungan itu saya guna balik untuk beli dadah sendiri. Jika stok habis, saya akan minum air ketum untuk buang ketagihan," katanya.
Kedua-dua mereka itu kini sedang menjalani latihan kemahiran selama enam bulan di Cure & Care Vocational Centre (CCVC) di Sepang, pusat kemahiran kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Mengikut rekod AADK bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, sejumlah 1,346 penagih yang dikesan adalah mereka yang berusia antara 13 hingga 24 tahun.
Daripada jumlah itu, 15 penagih berusia 13 hingga 15 tahun, 199 penagih (16 hingga 18 tahun) serta 1,212 penagih di usia antara 19 hingga 24 tahun.
Majoriti mereka juga mengakui tidak bekerja atau belum mempunyai kerja tetap dan terbabit dalam kancah dadah disebabkan beberapa faktor pendorong antaranya pengaruh rakan, perasaan ingin tahu, keseronokan serta tekanan.
Berdasarkan statistik untuk tempoh sama, majoriti penagih yang dikesan sepanjang lima tahun dari 2009 hingga 2013 adalah kumpulan berisiko tinggi terjebak dengan dadah.
Belia berumur 19 hingga 39 tahun paling ramai dikesan pada 2010 iaitu sebanyak 16,737 orang, namun bilangannya berjaya diturunkan kepada 5,342 orang pada 2013 iaitu purata penurunan sebanyak 12.4 peratus bagi tempoh lima tahun.
Berbeza dengan penagih dewasa berumur 40 tahun dan ke atas yang hanya mencatatkan jumlah 4,240 orang pada 2010 dan berkurangan kepada 2,304 orang, tahun lalu atau purata penurunan sebanyak 1.17 peratus.

No comments:

Post a Comment