Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Pembantu pejabat didakwa dua pertuduhan rasuah


MARZUKI Abdul Rahman (kiri) diiringi polis selepas didakwa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM
BALIK PULAU 3 Okt. - Intipan selama seminggu oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengheret seorang pembantu pejabat ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang RM4,500, tahun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Marzuki Abdul Rahman, 37, didakwa meminta wang suapan RM4,500 pada 21 Ogos tahun lalu melalui panggilan telefon daripada Amran Peaid sebagai dorongan untuk memastikan kereta Honda City dan Toyota Wald milik lelaki berkenaan yang ditarik dipulangkan semula.
Pertuduhan kedua pula menyebut tertuduh yang mempunyai tiga orang anak didakwa menerima wang berkenaan daripada Amran yang juga merupakan pengadu dalam kes itu bagi tujuan sama antara pukul 5.45 petang dan 6 petang, 22 Ogos tahun yang sama.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat Blok 9-1-5, Lengkok Nipah, Taman Jubilee Tiga, Sungai Nibong di sini.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Marzuki turut menghadapi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan atas dakwaan menipu Amran untuk mempercayai kononnya wang RM4,500 itu akan diserahkan kepada penarik kereta supaya kedua-dua kenderaan itu dapat diserahkan semula kepada Amran.
Marzuki yang memakai baju berkolar berwarna biru kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri menawarkan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduh­an yang dihadapi tertuduh.
Peguam Rosli Ahmad yang mewakili Marzuki pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan tertuduh perlu menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah selain tarikh Hari Raya Aidiladha yang semakin dekat.
Hakim Caroline Bee kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_06/Pembantu-pejabat-didakwa-dua-pertuduhan-rasuah#ixzz3F7eXuttI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment