PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya, Mohd. Yussof Zakaria menunjukkan tarikh permit untuk menjalankan kerja-kerja pembalakan semasa beliau bersama anggotanya membuat serbuan di kawasan hutan daerah Kota Tinggi, Johor, semalam. – UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KOTA TINGGI 21 Okt. – Hutan Simpan Seluyut, Pengerang di sini, seluas 39.94 hektar menjadi sasaran operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras kegiatan pembalakan haram di seluruh negara seperti yang didedahkan dalam laporan eksklusif Utusan Malaysia hari ini.
Operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi lain yang bermula pada pukul 5 pagi itu ekoran hasil maklumat daripada orang awam selain pemantauan dan risikan yang dijalankan SPRM sejak tiga bulan lalu.
Penolong Kanan Pesuruhjaya (Bahagian Perisikan) SPRM, Ruslan Che Amad berkata, serbuan dijalankan kerana pihaknya percaya terdapat unsur rasuah disebabkan kontraktor terlibat memulakan kerja sebelum mendapatkan kebenaran.
Menurutnya, syarikat terlibat didapati memulakan kerja-kerja di kawasan itu lebih awal daripada lesen yang dikeluarkan bagi tujuan berkenaan iaitu bermula 15 Oktober lalu hingga 14 April tahun depan.
“SPRM akan menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak Jabatan Perhutanan bagi mengetahui sama ada aktiviti yang dijalankan syarikat terlibat mengikut segala peraturan yang ditetapkan.
“SPRM komited untuk mengenal pasti punca mengapa perkara seumpama itu boleh berlaku termasuk yang boleh mendorong kepada rasuah. SPRM komited untuk menangani sekaligus membanteras kegiatan seperti itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini mendedahkan kegiatan pembalakan haram di seluruh negara semakin serius angkara perbuatan rasuah yang berleluasa dan turut melibatkan penguat kuasa agensi kerajaan.
Kegiatan yang dinaungi sindiket serta kumpulan mafia bersenjata api telah mengakibatkan negara kerugian ratusan juta ringgit dengan Sarawak sahaja pada tahun lalu mencatatkan RM100 juta.
Ruslan memberitahu, kerja meratakan jalan dan penebangan pokok di kawasan itu adalah bagi membangunkan infrastruktur empangan bagi projek perbekalan air mentah untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).
Dalam serbuan itu juga, Ruslan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun iaitu penyelia di kawasan terbabit kerana cuba memberi rasuah RM3,000 supaya melepaskan 15 pekerja Indonesia yang bekerja tanpa permit.
Tambahnya, siasatan berhubung usaha menyogok pihak berkuasa terlibat akan diserahkan kepada SPRM Johor sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment