Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Pembalak haram mengaku tidak bersalah cuba rasuah polis

KUCHING: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis yang menahannya kerana melakukan pembalakan haram.
Ling Sing Ching, 50, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas dia mengaku tidak bersalah cuba menawarkan rasuah RM2,000 kepada ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.
Hakim perbicaraan, Nixon Kennedy Kumbong, dimaklumkan bahawa Ling menawarkan wang tunai itu kepada Mohd Mazlan apabila mereka berdua bertemu di sebuah restoran di Lorong Lapangan Terbang di sini pada 4.45 petang, 4 September lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ling dituduh melakukan perbuatan itu selepas dia didakwa melakukan aktiviti pembalakan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sarawak.
Nixon menetapkan 24 hingga 26 November bagi perbicaraan kes. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada SPRM, Ikhwan Mohd Ibrahim manakala peguam Francis Wee mewakili Ling.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment