Anggota bomba menutup tong berisi asid nitrik sebelum membawanya ke balai untuk dilupuskan.
Anggota bomba menutup tong berisi asid nitrik sebelum
membawanya ke balai untuk dilupuskan.
KAMPAR - Seorang pemandu lori panik apabila lori 10 tan muatan bahan kimia jenis asid nitrik secara tiba-tiba mengeluarkan asap tebal di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar, dekat sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, pemandu berusia 30 tahun bersama rakannya memandu lori membawa 20 tong bahan kimia secara berkonvoi menuju ke utara.

Ketika tiba di tempat kejadian, rakan pemandu lori itu bertindak memberhentikan kenderaan dipandunya kerana melihat asap tebal keluar dari lori pemandu berkenaan.
Rakannya segera membuat panggilan kecemasan bagi mengelakkan perkara lebih serius berlaku, manakala pemandu berkenaan segera menjauhkan diri dari lori tersebut untuk tujuan keselamatan.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Jamali Mohd Rohimi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 8.19 malam.
Menurutnya, sejurus mendapat panggilan itu, mereka bergegas ke tempat kejadian dan mendapati tiada kebakaran berlaku.
“Setibanya di tempat kejadian kami menemui satu tong bahan kimia jenis asid nitrik UN 2031 dalam keadaan penutup terbuka dan kandungannya tertumpah menyebabkan asap tebal keluar dari lori berkenaan,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, anggotanya segera mengasingkan bahan kimia itu dengan memakai sut khas (Breathing Apparatus) sebelum menempatkannya ke dalam bekas khas dan dibawa ke balai untuk dilupuskan.
Katanya, bahan kimia itu berbahaya jika terkena kulit manakala wapnya boleh menyebabkan gatal pada kulit dan mata.
"Kedua-dua lori itu kemudian meneruskan perjalanan ke utara selepas menyerahkan tong bahan kimia yang terbuka kepada pihak bomba," katanya.