Anggota forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
Anggota forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
BAYAN LEPAS - Seorang pemandu lori yang baru saja mahu memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur parah apabila ditembak di Sungai Tiram di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, mangsa berusia 27 dikatakan baru saja masuk ke dalam lori yang diletakkan di hadapan rumahnya sebelum ditegur seorang lelaki.

Menyedari ada orang memanggilnya, mangsa keluar semula dari lori namun sebaik sahaja turun dia ditembak dari jarak dekat oleh lelaki berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahu manakala penjenayah berkenaan melarikan diri ke belakang rumah mangsa.

Menurut sumber, mangsa sempat masuk ke dalam rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada adik iparnya sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan mangsa kini dilaporkan stabil.

“Siasatan polis di tempat kejadian menemui sebutir peluru hidup berhampiran lori mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.