Polis mengiringi pelajar ke kawasan selamat.
Polis mengiringi pelajar ke kawasan selamat.
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pelajar perempuan terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan di Marysville-Pilchuck High School di barat Washington, semalam.

Jurucakap polis Marysville, Robb Lamoureux berkata dalam kejadian itu, penyerang yang juga pelajar sekolah berkenaan menembak lima rakannya di kepala sebelum menembak mati dirinya sendiri.

Memetik laporan dpa, empat pelajar dikejarkan ke hospital dengan keadaan kritikal.

Menurut media tempatan, penyerang dikenal pasti sebagai Jaylen Fryberg berusia 14 tahun dan insiden tersebut berlaku di kafeteria sekolah.

"Pada mulanya saya mendengar satu bunyi letupan. Kemudian ada empat atau lima lagi letupan sebelum pelajar lain menjerit dan bertempiaran lari," kata seorang pelajar di kafeteria berkenaan bernama Jordan kepada CNN.

Kejadian tembakan di sekolah semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat dalam beberapa tahun termasuk kejadian di sebuah sekolah di Newtown, Connecticut di mana 20 kanak-kanak terkorban, awal tahun lalu.

Sejak itu, terdapat 74 lagi kejadian tembakan di sekolah dan kampus.

Mei lalu, enam pelajar di Universiti California, Santa Barbara terbunuh dalam kejadian sama.