Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Pantau murid 'hilang, keluar sebentar' dari kelas


3 Oktober 2014


KUALA LUMPUR - Pelajar yang 'hilang atau keluar sebentar' dari kelas mereka perlu ditangani secara serius bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan.

Kejadian pelajar cedera dan maut di sekolah seperti yang berlaku baru-baru ini, sekalipun disifatkan sebagai kes terpencil, namun pihak sekolah terutama guru perlu serius memantau pelajar yang bertindak keluar dari kelas.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pihak keselamatan sekolah dan guru dilihat mudah terlepas pandang perkara tersebut sehingga pelajar terbabit dalam aktiviti bermasalah.

"Apa yang berlaku adalah kes terpencil dan ia bukan hari-hari berlaku. Malah kita tidak jangka ia akan berlaku. Sama macam di luar sekolah, walau ada peraturan jalan raya, kemalangan masih berlaku.

"Semua sekolah sepatutnya perlu memperbaiki dan menambah baik aspek keselamatan baik di dalam mahupun di luar sekolah kerana cabaran mendisiplinkan pelajar berubah dari semasa ke semasa.

"Ia juga adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul ibu bapa dan pelajar sendiri seperti ketika melintas, aktiviti di dalam dan luar waktu pembelajaran termasuk bersukan," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad mengulas mengenai dua kes kecuaian keselamatan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang  maut selepas terjatuh dari siling dewan sekolahnya di Perlis pada 1 Oktober lepas.

Manakala seorang lagi pelajar didapati koma selepas terjatuh dari siling bahagian luar sebuah bilik darjah di tingkat dua salah satu blok bangunan sekolah kebangsaan di Keningau, Kota Kinabalu pada 2 Oktober.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata jawatankuasa disiplin sekolah perlu meletak satu garis panduan tertentu untuk pemantauan aspek keselamatan dan persekitaran bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata antara langkah penambahbaikan aspek keselamatan yang boleh diambil ialah guru kelas memberi keutamaan kepada bilangan pelajar sebelum memulakan sesuatu sesi pembelajaran dan mengambil tindakan lanjut jika pelajar tiada dalam kelas.

Selain itu, Mohamed Sabri berkata pengawal keselamatan dan pengawas sekolah juga perlu lebih kerap memantau persekitaran sekolah bagi mengesan pelajar yang ponteng kelas atau terbabit dalam tindakan memudaratkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment