Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Alexender Xavier Francis, 46, yang cacat tangan dan kedua-dua belah kaki berada di rumah bersama isterinya, Letchumi Daniel, 44.
Mujur Alexender sempat diselamatkan oleh isterinya dengan bantuan jiran-jiran mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd. Khairi Daud berkata, kejadian dipercayai bermula di bahagian bilik rumah berkenaan.
“Pihak bomba berjaya memadam api sepenuhnya pada pukul 6.05 petang.
“Ketika kejadian mangsa dan isterinya berada di rumah manakala empat lagi anaknya keluar beraya,” ujarnya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, mangsa yang merupakan seorang OKU berjaya diangkat keluar oleh isteri serta jirannya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut mengenai punca kebakaran masih lagi diteruskan dan nilai kerugian yang dianggarkan ialah sebanyak RM50,000,” katanya.
Menurut Mohd. Khairi, keluarga tersebut akan dipindahkan ke Dewan Alamanda Seksyen 20 buat sementara waktu.
Sementara itu, Anthony Dass, 23, yang ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur bergegas pulang sebaik menerima panggilan daripada ibunya.
“Saya tidak menyangka rumah akan terbakar pada hari Deepavali, namun saya bersyukur kerana ibu bapa selamat,” ujarnya.