Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

Nelayan Vietnam ceroboh perairan negara


25 Oktober 2014

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menggagalkan cubaan sebuah bot nelayan Vietnam yang cuba menangkap ikan secara haram di perairan negara apabila menahan seorang tekong dan 10 awak-awak kira-kira 95 batu nautika dari Pantai Tok Bali di sini, semalam.

Leftenan Komander Maritimnya, Noor Hafizi Mohd Rafik berkata, kegiatan mereka dikesan oleh kapal Maritim Jujur dalam operasi 24 jam berhampiran sebuah pelantar minyak pada pukul 7.30 petang dan ditunda ke Pelabuhan Maritim Tok Bali, pagi ini.

"Anggota APMM menahan mereka selepas mengejar setengah jam semasa cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal Maritim," katanya kepada pemberita di Pejabat Maritim Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas satu tan ikan tuna berserta peralatan menangkap ikan selain bot yang kesemuanya bernilai RM300,000.

Noor Hafizi berkata, kesemua mereka yang berumur antara 18 hingga 40 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan bot akan dirampas dan tekong akan didenda tidak lebih RM1 juta manakala awak-awak didenda tidak lebih RM500,000.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, pihaknya membuat pelbagai tangkapan dan mengenakan denda atas pelbagai kesalahan berjumlah lebih RM7.4 juta. - Bernama

No comments:

Post a Comment