Search This Blog

Wednesday, October 22, 2014

Nelayan mati lemas


NORDIANA JOHARI
21 Oktober 2014


JASIN – Mayat nelayan yang lemas selepas terjun untuk menyelamatkan botnya di kelong berhampiran Jeti Nelayan Pantai Siring, ditemui tersangkut pada jaring kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, jam 9.23 pagi semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata, kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 8.30 malam semalam mengorbankan Ibrahim Mat, 51 tahun yang sebelum itu membawa pemancing di kelong berkenaan.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada 9.56 malam dan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira setengah jam kemudian menerusi kekuatan 16 anggota yang turut melibatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, polis dan nelayan.

Bagaimanapun, usaha pencarian ditangguhkan pada jam 2.30 pagi sebelum disambung semula pada 7.11 pagi, semalam melibatkan 50 orang termasuk nelayan menggunakan 18 bot.

“Alhamdulillah, pada jam 9.23 pagi kita menemui mayat mangsa yang dipercayai tersangkut di jaring nelayan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pulai, Rizal Ramli berkata, pada kejadian terbabit mangsa cuba menyelamatkan botnya yang hanyut berkemungkinan tali tidak diikat dengan betul.

“Dia membawa empat pemancing di kelong itu dan mereka sempat membaling pelampung kepada mangsa yang berenang untuk menyelamatkan bot.

“Tetapi apabila sampai sahaja di bot, mangsa terus hilang dan kerja-kerja SAR dilakukan nelayan antaranya dengan meletakkan jaring di kawasan berhampiran,” katanya menjelaskan mangsa adalah seorang pesara tentera, melakukan kerja sambilan membawa pemancing ke kelong sejak enam bulan lalu.

Manakala, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah turut mengharapkan nelayan dan orang ramai perlu memakai jaket keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Ini adalah pelajaran paling terbaik kepada semua nelayan apabila menjalankan operasi di laut mesti memakai jaket keselamatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment