Anggota bomba memeriksa bilik tidur yang hangus terbakar.
Anggota bomba memeriksa bilik tidur yang hangus terbakar.
KUALA PILAH – Seorang remaja yang datang menziarahi rakan sekolahnya sempena perayaan Deepavali menjadi hero apabila berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada hangus dijilat api di Taman Bahagia Delima, semalam.

G Sarivin Kumar, 17, berkata, dia menyedari rumah itu terbakar selepas keluar mengambil angin dari rumah rakannya selepas bekalan elektrik terputus jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, ketika itu, dia ternampak kepulan asap dan bunyi kuat dari bahagian bumbung rumah berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah rakannya.

"Selepas melihat asap, saya terus menjerit dan memanggil penduduk di situ untuk keluar padamkan kebakaran.

"Ketika itu, pintu pagar rumah berkenaan berkunci dan kami terpaksa pecahkan kunci mangganya," katanya.

Pada masa itu, katanya, dia dan penduduk hanya mampu memadam kebakaran menerusi tingkap.

"Namun lama-kelamaan api merebak ke ruang tamu dan kami memecahkan pintu utama bagi memadamkan api menggunakan air yang diangkut dengan baldi.

“Bagaimanapun usaha kami tidak sia-sia, apabila api berjaya dikawal dan selang beberapa minit, anggota bomba dan penyelamat tiba membantu memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya.

Salah seorang penduduk, Ahmad Rustam Md Derus, 31, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya sedang baring di ruang tamu.

Menurutnya, ketika itu, dia terdengar bunyi kaca pecah dari rumah jiran dan jeritan memintanya keluar dari rumah kerana ada rumah terbakar.

"Saya panik dan terus bergegas keluar dari rumah dan melihat rumah di sebelah kanan terbakar di bahagian bilik tidur,” katanya yang turut membantu memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, menantu mangsa, Low Sheau Yeu, 35, berkata, ketika kejadian, ayah mertuanya, Chong Teck, 60, dan ibu mertuanya, Koh Chai Lan, 55, tiada di rumah kerana ke Seremban untuk urusan memperbaharui pasport manakala tiga lagi anaknya bekerja di Singapura.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi jirannya jam 12.46 tengah hari.

"Ketika itu, saya sedang bekerja terus bergegas ke sini. Dalam perjalanan, saya sempat menghubungi bomba.

"Terima kasih kepada jiran-jiran yang membantu memadamkan kebakaran ini," katanya yang masih belum memberitahu kejadian itu kepada mertuanya kerana gagal dihubungi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohamad Mat Akhir berkata, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.42 tengah hari.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, bilik tidur berkenaan sudah hampir 80 peratus terbakar dan api mula merebak ke bilik utama rumah itu.

“Kami berjaya memadamkan kebakaran dan tidak menghadapi sebarang kesulitan ketika operasi dijalankan.

“Hanya bilik hadapan yang musnah teruk meskipun api merebak ke bilik utama dan ruang tamu tetapi ia dapat dikawal," katanya.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.55 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.