Search This Blog

Friday, October 24, 2014

‘Naluri saya kuat jasad anak di situ’


Kuala Lumpur: “Hati saya kuat mengatakan mayat anak saya ada di kawasan itu. Tubuh Ridzuan akhirnya ditemui terapung di lokasi berkenaan jam 11 pagi tadi (semalam),” kata Yusri Ahmad, 39, yang berusaha menjejaki mayat anaknya yang lemas sejak jam 7.30 malam Selasa lalu.
Dalam kejadian sebelum ini, mangsa, Muhammad Ridzuan, 13, hanyut dibawa arus sungai ketika bermain bersama rakannya di tepi sungai Kerayong berhampiran Stesen LRT Maluri, di sini.
Operasi mencari mayat mangsa yang dilakukan bomba dan penyelamat dengan bantuan ahli keluarga mangsa bagaimanapun gagal mengesan mayat Ridzuan yang dipercayai dihanyutkan arus deras.
“Saya yakin jasad anak saya berada di kawasan sungai yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi dia terjatuh.
“Walaupun kawasan sungai itu sudah diperiksa pasukan keselamatan semalam (kelmarin), namun firasat saya mengatakan dia ada di situ,” katanya.
Gerak hati Yusri ternyata tepat apabila dia akhirnya menemui jasad anaknya terapung di kawasan itu pagi semalam sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.
Dia yang bekerja sebagai pemandu van meneruskan pencarian mayat anaknya seawal jam 9 pagi, semalam sebelum menemui jasad mangsa.
“Memang sedih, tetapi saya reda dengan ketentuan Ilahi. Pada masa sama, saya bersyukur kerana jasadnya ditemui,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, mayat mangsa ditemui di kawasan berhampiran Flat Sri Johor, Sungai Kerayong, di sini.
Katanya, mayat Muhammad Ridzuan Yusri ditemui tersangkut pada kayu di tengah sungai dan dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang terbabit dalam operasi berkenaan.
“Usaha mencari di kawasan penemuan mayat mangsa sudah dijalankan sebelum ini, namun mengalami kesulitan berikutan air sungai yang keruh,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:13 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3821#sthash.LEv5PwgX.dpuf

No comments:

Post a Comment