Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
KANGAR - Polis meminta orang ramai menghentikan spekulasi mengaitkan kematian pelajar Tingkatan 3 yang jatuh dari siling dewan sekolah kerana dibuli rakan-rakannya.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, laporan mengenai kejadian mangsa Muhammad Hakimi Zukefli, 15, jatuh dalam keadaan tertiarap bersama kotak pensel miliknya adalah tidak benar.

“Apabila polis sampai, tidak ada kotak pensel di tempat kejadian. Bagaimana pula ia boleh dikaitkan dengan kes buli sedangkan rakaman percakapan guru-guru dan rakan-rakannya juga mendapati tiada unsur buli berlaku.

“Tak mungkin ada orang sanggup panjat dan meniti siling bumbung itu semata-mata untuk menyembunyikan kotak pensel, malah kalau ia dilambung pun tak akan sampai kerana ketinggiannya hampir 40 kaki (12 meter),” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut jatuh dari siling dewan sekolah]

Jelas Abdul Rahman, dakwaan mengatakan mangsa cuba mengambil bola takraw juga tidak berasas kerana bola takraw dipercayai hanya melantun di atas atap anjung di hadapan dewan.

“Dia dan rakan-rakan bermain sepak takraw sebelum waktu rehat pada 10.30 pagi, ada dua biji bola melantun ke anjung tersebut tetapi guru tidak benarkan pelajar bermain naik mengambil bola itu.
“Selepas dua kali bola takraw melantun ke anjung, mereka bersurai tetapi Muhammad Hakimi tidak bersama rakannya yang lain sebelum ditemui maut di dalam dewan itu pada jam 11.15 pagi,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa menaiki tangga di bahagian pintu belakang berhampiran pentas tidak dikunci, namun polis masih menyiasat bagaimana mangsa meniti siling ke lokasi dia jatuh.
Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Yusuff Man yang melawat tempat kejadian, berkata JPN bersedia memberi kerjasama kepada polis untuk menyiasat.

Kelmarin, Muhammad Hakimi ditemui maut di dalam Dewan Sekolah Kebangsaan Syed Alwi di sini.