TAPAH - Seorang lelaki bukan hanya tidak sempat meraikan Deepavali bersama keluarga, malah terpaksa mengesot selama tiga hari untuk mendapatkan bantuan selepas terbabit dalam kemalangan di Tapah, 19 Oktober lalu.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 3 pagi di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Bidor itu, A Nicholas Andrew, 33 dan rakannya R Thiyagarajan, 34, yang maut ketika nahas terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Tapah selepas mengedarkan kad kahwin adiknya kepada saudara mara di Bidor.

Nicholas berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

“Apabila buka mata, saya tercampak keluar dari kereta dan saya cuba bangun tetapi kaki dan tangan kanan patah, menyebabkan saya tidak mampu berdiri.

“Saya terpaksa mengesot dengan gerakkan badan serta kaki kiri untuk bergerak hingga belakang badan luka.

“Ketika itu, saya hanya mampu pujuk hati supaya lebih kuat untuk selamat pulang berjumpa dengan kedua ibu bapa, isteri dan ketiga-tiga orang anak yang masih perlukan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan (HTI) semalam.

Penjawat awam di Kem Askar Wataniah Teluk Intan itu berkata, dia turut memanggil Thiyagarajan namun tiada jawapan dan beranggapan rakannya tercampak di kawasan lain.

Katanya, dia cuba mengesot ke arah curam gaung untuk memanjat bagi mendapatkan pertolongan namun gagal kerana kerana ia terlaku curam dan licin.

Menurutnya, dia kemudiannya mengesot ke arah parit berhampiran yang dijadikan sumber minumannya bagi menambah tenaga sebelum tidur di bawah sebatang pokok.

“Pada hari kedua, saya cuba mengesot ke tempat lain dengan harapan dapat lihat orang awam untuk minta bantuan dan ketika itu saya jumpa sebatang anak sungai yang dijadikan sumber minuman saya,” katanya.

Menurutnya, disebabkan hujan, paras air sungai naik mendadak dan menyebabkan dia terpaksa mengesot ke tempat lebih selamat.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia sentiasa cekalkan hatinya untuk ingat kepada ibu bapanya, isteri dan tiga orang anaknya.


Dengar bunyi motosikal

Nicholas berkata, pada hari keempat, dia terdengar bunyi motosikal dan menjerit meminta tolong namun tiada yang tampil membantunya.

Katanya, ketika itu dia hampir berputus asa ditambah pula kesakitannya dialami daripada tangan yang patah dan bernanah.

Menurutnya, bagaimanapun, kira-kira 20 minit kemudian, muncul Orang Asli bersama rakan untuk membantunya sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Saya berterima kasih kepada tuhan kerana masih dipanjangkan umur,” katanya.

Sementara itu, isterinya, M Ratna, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja di Ipoh dan apabila pulang ke rumah keesokan harinya, dia berasa pelik apabila suaminya tidak menunggunya di jalan masuk rumah mereka di Tapah seperti kebiasaannya.

Katanya, dia bertambah hairan apabila suaminya tiada di rumah dan menelefon keluarga mertuanya untuk bertanya mengenai suaminya itu.

Menurutnya, dia turut menghubungi rakan-rakan Nicholas untuk mengesan suaminya sebelum membuat laporan polis pada 19 Oktober lalu.

“Ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, saya buat laporan namun suami saya tidak balik juga sebelum saya datang semula ke IPD 20 Oktober lalu untuk buat laporan mengenai kehilangan suami saya setelah gagal hubungi dia.

“Saya turut minta bantuan rakan-rakan suami untuk mengesannya di kawasan dia suka memancing namun gagal dan ketika itu saya hanya mampu berdoa kepada tuhan supaya dia selamat,” katanya.

Ratna berkata, pada kira-kira jam 5 petang Isnin lalu, dia menerima panggilan daripada pakciknya yang memaklumkan orang awam menjumpai Nicholas.