Syaiful (dua, kiri) dikawal ketat polis keluar dari mahkamah. Gambar kecil: Nik Maslizaini.
Syaiful (dua, kiri) dikawal ketat polis keluar dari mahkamah. Gambar kecil: Nik Maslizaini.
KOTA BHARU - Anak sulung Allahyarham Tuan Paridah Tuan Losen, 60, sebak ketika pertama kali berdepan dengan pelaku yang menyebabkan kematian ibunya itu, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Pertemuan itu sekali gus memberi jawapan kepada Nik Maslizaini Hanafi, 35, berhubung pelaku yang menyebabkan kematian arwah pada 22 Disember, tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, dia sentiasa mendoakan perkara yang terjadi ke atas arwah ibunya itu mendapat pengadilan sewajarnya dan perasaan sebak bertemu pelaku itu dirasai apabila dia teringat arwah.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.  Tidak kiralah hukuman diputuskan berat atau ringan, saya tetap berpuas hati. Saya serahkan sepenuhnya kepada mahkamah,” katanya yang bergenang air mata ketika ditemui di pekarangan mahkamah, semalam.

Sebelum itu, Hakim, Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap Syaiful Syahriman Mustapa, 29, selepas mengaku menyebabkan cedera sehingga membawa kematian kepada mangsa, pada jam 12.45 tengah hari, tarikh berkenaan.

Sebelum itu, Syaiful menghubungi peraih emas terbabit dan memberitahu ada yang ingin menjual emas, lalu mereka bertemu di hadapan sebuah bank di Machang. Mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu rakan tertuduh.

Tertuduh kemudian menunjukkan barang kemas yang ingin dijual, namun apabila diberitahu gelang itu emas tiruan, tertuduh marah dan bertindak menutup mulut mangsa.

Mangsa berusaha melepaskan diri, menyebabkan Syaiful memaut leher mangsa dan melilitnya dengan tali pinggang keledar, manakala kawannya mengetuk kepala mangsa dengan pistol.

Apabila Syaiful mendapati mangsa tidak bernyawa, dia mengarahkan kereta dipandu ke kawasan sunyi arah semak tepi sungai berdekatan landasan kereta api Kampung Paloh Rawa dan membuang mayat di situ.

Mayat mangsa dijumpai empat hari kemudian oleh pasangan suami isteri yang mengutip pucuk beka di kawasan terbabit.

Pada prosiding sama, pemilik pistol yang digunakan dalam kejadian itu, Mohd Asrul Zulkipli, 24, turut dihukum penjara enam tahun atas tuduhan memiliki pistol tiruan tersebut pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Syaiful juga dihukum penjara empat tahun kerana dituduh menyembunyikan kematian mangsa. Hukuman terhadapnya berkuat kuasa serentak daripada tarikh ditahan 26 Disember tahun lalu. Seorang lagi rakan tertuduh masih bebas.