Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

Mayat kedua mangsa lemas Sungai Aring ditemui



ANGGOTA penyelamat membawa mangsa lemas, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, yang dijumpai selepas tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lalu, ditemui petang tadi. - Foto Ramli Ibrahim
KOTA BAHARU : Seorang lagi mangsa lemas dalam tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lepas, ditemui petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata mayat Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, dari Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan ditemui kira-kira jam 4.30 petang.
"Mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini mayat Mohd Nor Abdul Rahman, 47, daripada Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Jumaat, kedua-dua lelaki itu bersama lapan rakan lain sedang berkelah di Kuala Koh, sebelum menaiki rakit buluh yang dipinjam daripada penduduk Orang Asli untuk memancing ikan.
Rakit buluh itu melanggar batu di tengah sungai menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Bagaimanapun, lapan yang lain dapat menyelamatkan diri - BERNAMA

No comments:

Post a Comment