Laporan Sinar Harian, semalam
Laporan Sinar Harian, semalam
PANTAI MERDEKA – Dua mangsa lemas yang terjatuh ketika memancing ikan kelmarin ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa terjatuh, petang semalam.

Mangsa pertama, Mohd Hazwan Mohd Shauddin, 16, ditemui jam 6 petang manakala seorang rakannya, Ahmad Hizami Ahmad Husaini, 16, ditemui tidak jauh dari situ, enam minit selepas mangsa pertama ditemui.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Bomba Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Yunus Abu berkata, kesemua 86 anggota terlibat menyertai operasi mencari dan menyelamat di pantai itu semalam.
Menurutnya, antara pasukan yang terlibat termasuk anggota bomba dan unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pencarian ini, anggota bomba menggunakan dua bot, satu jet ski, tiga bot Maritim, dua bot masing-masing dari JPAM dan PDRM.
Sinar Harian semalam melaporkan dua sahabat dipercayai lemas apabila cuba menarik mata kail yang tersangkut ketika memancing kira-kira satu kilometer dari kawasan pantai.
Kesemua enam sahabat itu keluar dari rumah mereka kira-kira jam 8 pagi untuk memulakan aktiviti memancing sebelum dua daripadanya terjatuh lebih kurang jam 1.10 petang.
Kejadian berlaku apabila mata kail Mohd Hazwan dikatakan tersangkut dan cuba menghampiri lokasi kejadian sebelum tiba-tiba terjatuh akibat dihempas ombak kuat.
Ahmad Hizami yang melihat rakannya lemas cuba membantu namun kedua-duanya ditenggelami air.