LIMBONGAN - Seorang pesara tentera maut di bawah lori selepas motosikal ditunggang merempuh bahagian kanan lori berkenaan di Jalan Limbongan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mangsa Norhafendy Othman, 37, maut di tempat kejadian selepas kepalanya terhantuk di bahagian badan lori jenis Nissan sebelum terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, mangsa datang dari pusat bandaraya menghala ke persimpangan lampu isyarat Limbongan sebelum berlanggar dengan lori muatan bateri dan lampu kalimantang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada lori dipandu lelaki berusia 34 tahun yang datang dari arah Hotel Formosa Garden hendak keluar simpang membelok ke kanan menuju pusat bandar.

“Namun pada masa sama datang motosikal jenis Yamaha 15LC ditunggang Norhafendy sendirian dari arah pusat bandar melanggar bahagian tepi kanan lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Razali berkata, mangsa yang cedera teruk di bahagian kepala dan kaki kiri maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Waris Norhafendy yang berasal dari Machap Umboo, Alor Gajah ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka bagaimanapun enggan ditemu bual berikutan terlalu sedih dengan kejadian menimpa mangsa.