Search This Blog

Friday, October 24, 2014

Maut kerana terkejut

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Oktober 2014


ARAU - Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung dalam perjalanan untuk proses dokumentasi selepas ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis di Pasar Hari Arau di sini, kelmarin.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis, Razali Lebai Salleh berkata, semasa membuat pemantauan rutin di pasar sehari sekitar negeri ini, anggota penguat kuasa merampas kira-kira 600 keping cakera padat dan cakera padat digital yang dijual lelaki
berkenaan bersama anaknya kira-kira jam 10.45 pagi.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan membawa keduadua beranak yang berusia 63 dan 21 tahun itu ke pejabat KPDNKK untuk siasatan, lelaki terbabit yang memandu van melanggar kenderaan di hadapan ketika sedang berhenti di lampu isyarat.

"Seorang anggota mengiring lelaki terbabit turut bersamanya untuk dibawa ke pejabat manakala anaknya bersama anggota lain.

"Sampai sahaja di lampu isyarat jalan Arau-Kangar, suspek melanggar kereta di hadapannya sebelum dilihat tidak sedarkan diri,” katanya.

Razali berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, KPDNKK juga belum membuka kertas siasatan berhubung rampasan bahan cetak rompak itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.40 pagi di jalan Arau-Kangar.

Menurutnya, lelaki berasal dari Kampung Bukit Kechik, Tunjang, Jitra, Kedah, itu dipercayai meninggal sebelum kemalangan di lampu isyarat.

“Berdasarkan laporan awal doktor Hospital Tuanku Fauziah (HTF), mangsa dipercayai meninggal dunia sebelum kemalangan akibat serangan jantung,” katanya.

Pihak polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment