ALOR SETAR - Seorang wanita berusia 48 tahun ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok bangunan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, awal pagi semalam.
Mayat Teoh Ah Fong, 48, dari Alor Mengkudu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi berdekatan kaki lima bangunan oleh seorang tukang cuci yang tiba di tempat kejadian untuk memulakan tugasannya.
Mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan terbaring dan cedera parah di kepala.
Suami mangsa, Tan Ah Keat, 55, yang juga seorang tukang besi berkata, keadaan isterinya itu hanya diketahui kira-kira jam 9 pagi apabila dihubungi polis.
“Saya tak sangka dia akan bertindak begitu. Sebelum ini, memang dia ada mengadu sakit dan tak sanggup lagi menahan kesakitan yang di alaminya,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, mendiang isterinya beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat kesukaran membuang air kecil.
“Dia terima rawatan Rabu minggu lalu dan ditahan di wad di hospital lama Alor Setar serta dibenarkan pulang tiga hari kemudian.
“Bagaimanapun semalam (kelmarin) sakit dia datang lagi menyebabkan saya terpaksa membawanya ke hospital kira-kira jam 1 pagi dan meninggalkannya di situ untuk pulang kerana anak perempuan (orang kurang upaya) mengadu mengantuk dan mahu tidur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.
“Kita menerima panggilan daripada seorang lelaki India kira-kira jam 7.30 pagi yang menjumpai mayat di belakang kantin hospital.
“Rakaman CCTV mendapati mangsa pergi ke lif bangunan hospital secara bersendirian pada jam 3.30 pagi,” katanya.
Menurutnya, tiada saksi kejadian direkodkan setakat ini.