ALOR SETAR - Seorang wanita berusia 48 tahun ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok bangunan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, awal pagi semalam.

Mayat Teoh Ah Fong, 48, dari Alor Mengkudu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi berdekatan kaki lima bangunan oleh seorang tukang cuci yang tiba di tempat kejadian untuk memulakan tugasannya.

Mayat mangsa yang berpakian lengkap ditemui dalam keadaan terbaring dan sebahagian kepalanya cedera parah.

Suami mangsa, Tan Ah Keat, 55, yang juga seorang tukang besi berkata, berita mengenai isterinya itu hanya diketahui kira-kira jam 9 pagi apabila dihubungi polis.

"Saya tidak sangka dia terjatuh. Sebelum ini, memang dia ada mengadu sakit, dan tidak sanggup lagi menahan kesakitan yang dialaminya," katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, mendiang isterinya beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat kesukaran untuk membuang air kecil.

"Dia terima rawatan Rabu minggu lalu dan ditahan di wad di hospital lama Alor Setar. Dia dibenarkan pulang tiga hari kemudian.

"Bagaimanapun semalam (kelmarin) sakit dia datang lagi menyebabkan saya terpaksa membawanya ke hospital kira-kira jam 1 pagi dan meninggalkannya di situ untuk pulang kerana anak perempuan (orang kurang upaya) mengadu mengantuk dan mahu tidur," katanya.

Semerntara itu, Keua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut (SDR).

"Kita menerima panggilan daripada seorang lelaki India lebih kurang jam 7.30 pagi yang menjumpai mayat di belakang kantin hospital.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa pergi ke lif bangunan hospital secara bersendirian pada jam 3.30 pagi," katanya.

Menurutnya, tiada saksi kejadian direkodkan setakat ini.