Kereta Proton Wira dan Toyota Hilux yang remuk dalam kemalangan yang berlaku semalam.
Kereta Proton Wira dan Toyota Hilux yang remuk dalam kemalangan yang berlaku semalam.
IPOH - Seorang jurujual maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan dalam satu kejadian di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran kilang kuari di sini, semalam.

Mangsa, Nur Shuhaida Wahab, 25, yang disahkan maut di tempat kejadian meninggal dunia, kira-kira 10 hari sebelum hari kelahiran yang bakal disambut pada 23 Oktober depan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira dari rumah bapanya di Kledang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba memotong di garisan berkembar sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di kepala dan badan.

“Pemandu pacuan empat roda dari Pusing itu dipercayai dalam perjalanan ke Menglembu untuk mengambil barang.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama dengan bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, cuaca dalam keadaan baik ketika kejadian itu berlaku.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun,” ujarnya.

Allahyarham Nur Shuhaida yang beralamat di Kampung Gunung Panjang, Gopeng meninggalkan seorang anak berusia lima tahun.