Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di garaj sebuah rumah kosong di Taman Damai Utama, dekat sini, semalam.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di garaj sebuah rumah kosong di Taman Damai Utama, dekat sini, semalam.
SERDANG - Seorang lelaki yang dipercayai terlebih mengambil alkohol ditemui mati dengan keadaan berlumuran darah di sebuah rumah kosong di Taman Damai Utama, Puchong pagi, semalam.

Lelaki itu yang berkemungkinan dalam keadaan khayal dipercayai cuba memanjat balkoni rumahnya sebelum terjatuh dan ditemui tidak sedarkan diri di pekarangan rumah berkenaan.

Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Yong Soo Koon berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam memaklumkan menemui mangsa tidak sedarkan diri di garaj sebuah rumah teres tiga tingkat.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan, mangsa yang dikenali sebagai Ng Kok Wah, 39, beralamat di Bayan Lepas Pulau Pinang didapati berdarah pada bahagian telinga, mulut dan hidung dipercayai akibat terlebih dos alkohol.

“Tiada kesan pergelutan ditemui di tempat kejadian dan tiada sebarang senjata ditemui, hanya beberapa tin minuman keras dijumpai bersebelahan mayat mangsa.

“Polis percaya mangsa cuba memanjat balkoni tingkat atas rumah tetapi terjatuh berdasarkan kesan darah yang ditemui di beberapa tempat,” katanya.

Semakan rakaman CCTV dari jam 3 pagi hingga 6 pagi juga tidak menemui sebarang pergerakan selain pengawal keselamatan perumahan membuat rondaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.