Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Mangsa letusan gunung berapi Ontake mati tersepit di celah batu



Reuters - ANGGOTA bomba membawa mayat seorang mangsa letusan gunung berapi Ontake di tengah Jepun pada 28 September lalu.


TOKYO – Pasukan penyelamat menemui beberapa mayat pendaki tersepit di celah batu besar dengan separuh badan mereka tertanam di dalam abu letusan gunung berapi Ontake, menurut beberapa laporan semalam.
Sekurang-kurangnya 48 orang dikenal pasti terbunuh dalam bencana gunung berapi itu yang paling dahsyat di Jepun dalam tempoh hampir 90 tahun.
Namun, sebilangan mangsa masih belum ditemui selepas Ontake meletus pada Sabtu lepas.
Hujan lebat memaksa anggota polis, bomba dan askar menangguhkan operasi mencari di atas gunung berapi setinggi 3,067 meter itu semalam yang berterusan mengeluarkan wap dan gas beracun.
Terdahulu, pasukan polis menemui sebilangan mangsa separuh tertanam di dalam abu gunung berapi setebal 40 hingga 50 sentimeter di sebuah kuil di puncak Ontake, lapor akhbar Mainichi.
Lima mayat tersepit di celah bongkah batu sebesar tiga meter sekali gus memaksa anggota penyelamat menggunakan peralatan memecah batu untuk mengeluarkan mereka.
Seorang anggota penyelamat memberitahu akhbar Nikkan Sports bahawa lapisan abu bercampur wap air itu menyebabkan mereka sukar bergerak.
“Kami seperti berjalan dalam konkrit lembap,” katanya.
Dalam pada itu, bedah siasat mendapati kebanyakan pendaki meninggal dunia akibat terkena batu-batan yang dihamburkan oleh Ontake semasa gunung berapi itu mula meletus.
Batu-batan itu bergerak pada kelajuan mencecah 300 kilometer sejam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3F1rEn7h1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment