Search This Blog

Monday, October 20, 2014

Mahkamah arah ahli perniagaan bela diri


Alor Setar: Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, semalam, mengarahkan seorang ahli perniagaan yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh seorang eksekutif pemasaran wanita dalam kejadian lapan tahun lalu untuk membela diri pada penghujung Disember depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh 28 sehingga 31 Disember bagi tertuduh, Shahril Jaafar, 33, untuk membela diri dalam perbicaraan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh, sebelum ini dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar daripada pertuduhan itu pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Panel Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk Linton Albert pada Isnin lalu mengetepikan pelepasan dan pembebasan Shahril, sekali gus mengarahkan tertuduh untuk membela diri.

Mengikut pertuduhan, Shahril didakwa membunuh Chee Gaik Yap di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, antara jam 5.30 petang pada 14 Januari 2006 sehingga 3.05 pagi pada 15 Januari 2006.

Tertuduh diwakili peguam Shamsul Sulaiman manakala Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon mewakili pihak pendakwaan.

Shamsul turut memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada Januari depan berikutan isteri tertuduh dijangka bersalin pada Disember ini tetapi ditolak oleh mahkamah selain turut mengarahkan tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar.

Pihak pembelaan juga memaklumkan mereka dijangka akan memanggil 10 saksi sepanjang perbicaraan terbabit.

Sementara itu, bapa mangsa, Chee Ah Sau, 56, yang turut hadir di mahkamah, berkata pihaknya rasa lega apabila akhirnya kematian anak gadisnya terbela.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mayat Gaik Yap ditemui dalam keadaan separuh bogel di tepi tembok 500 meter dari pintu masuk sebuah hotel di Taman Ria Jaya, di sini, jam 2.35 pagi pada 15 Januari 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:10 AM


SHAHRIL dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3032#sthash.xJORC4RJ.dpuf

No comments:

Post a Comment