Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Lepas samun kena cekup



M. CHANDRA (dua dari kiri) menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas selepas menahan ahli kumpulan Geng Samri di Pantai Tanjung Aru 2 pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 3 Okt. - Aktiviti riadah penduduk di sini, di waktu pagi adalah saat yang amat ditunggu-tunggu oleh kumpulan penjenayah digelar Geng Samri.
Manakan tidak ketika itulah kumpulan tersebut akan melakukan jenayah pecah kenderaan yang ditinggalkan penduduk untuk mencuri barangan berharga.
Kegiatan itu dilakukan antara pukul 4 hingga pukul 6 pagi serta menyasarkan lokasi gelap dan tepi jalan.
Namun kegiatan kumpulan berkenaan akhirnya tumpas apabila dalangnya dicekup polis di Pantai Tanjung Aru 2, dekat sini, Sabtu lalu, kira-kira pukul 7 pagi.
Suspek yang berusia 28 tahun ketika itu baru sahaja selesai memecah kenderaan seorang wanita di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, dalam kejadian itu, sepasukan polis mengesan kenderaan milik suspek yang berlegar-legar di kawasan tersebut sejurus mendapat maklumat daripada mangsa.
“Kita telah menerima laporan daripada seorang pengadu wanita berusia 40 tahun yang mendakwa cermin kereta Perodua Alza miliknya dipecahkan dan mendapati sebuah beg sandang telah hilang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Chandra, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Tanjung Aru kemudian melakukan rondaan lalu terserempak dengan sebuah kereta Nissan Saloon.
Katanya, lelaki itu bertindak memecut kenderaannya sebaik mendapati diekori pasukan polis.
“Polis bagaimanapun dapat menahan kereta itu dan hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan antaranya empat beg sandang, jam tangan, telefon bimbit bernilai RM10,000 serta sebilah parang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah tersebut.
“Hasil soal siasat suspek turut mengaku terlibat dengan enam kes pecah kenderaan di sekitar Luyang dan Tanjung Aru dengan menyasarkan kenderaan ditinggalkan pemilik yang sedang bersenam," katanya.
Tambah Chandra, pihaknya turut memburu dua lelaki dipercayai rakan suspek, Thomas Philip, 28, dan Razman Talaq @ Kolong, 20, yang masing-masing menetap di Kepayan serta Menggatal.
Kata beliau, pihaknya percaya kumpulan itu akan menjual barang-barang curi untuk membeli syabu.
“Suspek yang positif dalam penyalahgunaan dadah itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 339 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141004/je_03/Lepas-samun-kena-cekup#ixzz3F7afdzQj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment