Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Lelaki rompak guna kereta adik diberkas


Suspek berusia 22 tahun itu didapati gemar meminjam kereta milik adiknya untuk melakukan jenayah rompakan bersendirian di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek bagaimanapun dijejaki polis dan ditahan di sebuah rumah di Taman Mas, Cheras petang kelmarin.
Menurutnya, suspek sebelum itu dikesan melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Mahkota Cheras di sini, petang Rabu lalu.
“Dalam kejadian jam 5.48 petang itu, suspek meluru ke kedai berkenaan sebelum mengacukan pisau ke arah juruwang.
“Suspek melarikan wang tunai dan puluhan kotak rokok dari dalam premis itu.
Mangsa bagaimanapun sempat melihat nombor plat kereta digunakan suspek,” katanya.
Beliau berkata, polis mengesan alamat rumah suspek di Taman Mas di sini, berdasarkan nombor plet kenderaan itu.
“Polis menahan adik suspek sebelum menemui kereta yang digunakan itu.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui kotak rokok yang dicuri sebelum ini.
“Lelaki berusia 20 tahun terbabit mendakwa kereta itu digunakan abangnya sebelum ini.

Dia turut memberikan alamat rumah abangnya,” katanya.
Rashid berkata, pihaknya yang melakukan intipan memberkas suspek pada jam 5.30 petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 17 kotak rokok, beg silang, wang tunai dan pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

No comments:

Post a Comment