Lelaki itu terbaring di atas jalan selepas dipukul orang awam menggunakan topi keledar.
Lelaki itu terbaring di atas jalan selepas dipukul orang awam menggunakan topi keledar.
PETALING JAYA - Seorang lelaki warga asing dipercayai mabuk, cedera di kepala selepas dipukul orang awam di Apartment Pelangi Damansara, semalam kerana tindakannya mengganggu penduduk.

 Kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu berlaku selepas lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai membuat kacau serta bertindak memukul beberapa orang penduduk lain yang menetap di sini.

Menurut sumber, lelaki itu yang mulanya berada di aras bawah Blok F membuat kecoh memukul beberapa penduduk tanpa sebarang sebab sebelum melarikan diri ke Blok E.

“Ketika sampai di pondok keselamatan,  pengawal turut cuba menghalang dia tetapi lelaki itu bertindak agresif dan memukul mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, sumber turut memaklumkan tindakan lelaki terbabit juga menyebabkan seorang pekerja penyelenggaraan di sini mengalami kecederaan selepas tangannya terkena alat penebuk dinding.

Lelaki itu telah mengancam untuk menikam pekerja penyelenggaraan itu di bahagian badan namun mangsa sempat k mengelak.

“Mangsa itu sempat elak tangannya cedera,” katanya.

Berang dengan tindakan warga asing itu, beberapa orang penduduk dan pengawal mengambil tindakan memukul lelaki terbabit bagi mengelak lebih ramai orang awam terancam.

Dia mengalami cedera ringan di bahagian kepala selepas dihentak dengan menggunakan topi keledar oleh orang awam yang berang.

Sebelum itu, kira-kira empat orang awam telah menjadi mangsa lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol itu.

Difahamkan, pihak keselamatan turut membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim mengesahkan kejadian yang berlaku.

Menurut Azmi, lelaki berkenaan merupakan warga Pakistan dan dipercayai menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta berhampiran kawasan itu.

“Mangsa berada di Hospital Sungai Buluh kerana mengalami kecederaan di bahagian muka dan pipi akibat dipukul dengan senjata tumpul,” katanya.

Tambah Azmi, hasil siasatan awal mendapati terdapat bau arak pada mangsa dan siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini.