Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Lelaki dijel dua hari, denda ceroboh pusat tuisyen


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Sekumpulan pelajar sekolah rendah yang sedang mengikuti tuisyen di Bandar Seri Permaisuri, Cheras di sini melalui pengalaman menakutkan apabila seorang lelaki mabuk menceroboh masuk ke dalam kelas semalam.
Lelaki itu turut memegang leher seorang pelajar perempuan setelah kumpulan pelajar itu tidak mela- yannya.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, lelaki tersebut sempat melarikan diri setelah kejadian itu disedari oleh pengawal bangunan namun berjaya ditangkap setelah dia berpatah balik ke pusat tuisyen terbabit untuk mengambil kasutnya yang tertinggal.
Berikutan itu, lelaki berkenaan, P.N. Hiswaran, 20, yang merupakan pelajar sebuah kolej kemahiran di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini dan mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh bangunan pusat tuisyen tersebut.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman penjara dua hari mulai semalam dan denda RM1,800 terhadap Hiswaran dan sekiranya gagal membayar denda, tempoh pemenjaraannya ditambah dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Hiswaran didakwa menceroboh bangunan dalam kawalan Chow Yuen Kwan, 47, di Pusat Tuisyen Blessed, No.8-1 Jalan Sri Permaisuri 9, Bandar Sri Permaisuri di sini, pada waktu berkenaan semalam.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Yuen Kwan melihat tertuduh masuk ke dalam kelas di pusat tuisyen itu dan duduk di sebelah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sambil bercakap-cakap namun tidak diendahkan oleh kanak-kanak itu.
Setelah tidak diendahkan, tertuduh kemudian meluru ke arah beberapa kanak-kanak lain dalam pusat tuisyen itu dan kemudian pergi ke arah seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan terus memegang leher kanak-kanak itu kerana tidak melayan percakapannya.
Dia kemudian terus membuat kacau dengan pergi ke arah semua kanak-kanak di situ sebelum melarikan diri setelah Yuen Kwan memarahinya dan memberitahu akan membuat laporan polis.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141003/ma_02/Lelaki-dijel-dua-hari-denda-ceroboh-pusat-tuisyen#ixzz3F2KjiBuR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment