Apa yang menyedihkan, kemalangan tersebut dikatakan berpunca daripada sikap penunggang kenderaan terbabit yang menjadikan lebuh raya tersebut sebagai ‘litar latihan’.
Berdasarkan statistik syarikat pengendali lebuh raya berkenaan, Kumpulan AlloyMtd (AlloyMtd), daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kematian dilaporkan dalam tempoh sama iaitu masing-masing empat kes pada 2013 dan tahun ini.
Selain itu, seramai 55 individu dilaporkan mengalami cedera parah manakala 20 individu lagi cedera ringan di lebuh raya tersebut akibat kemalangan motosikal berkuasa tinggi.
Dalam kenyataan menerusi emel kepada Utusan Malaysia, AlloyMtd menjelaskan, kebanyakan kes yang berlaku adalah berpunca sikap penunggang motosikal terbabit yang menunggang laju.
“Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menjadi lokasi popular dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi kerana bentuk geografinya yang berbukit serta berliku-liku membolehkan penunggang mengasah kemahiran serta kemampuan motosikal mereka.
“Pengendali lebuh raya tidak boleh dipersalahkan dalam perkara ini kerana perkara ini berpunca daripada sikap pengguna lebuh raya itu sendiri,” menurut kenyataan itu.
Pada 19 Oktober lalu, dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan ditunggang mereka berlanggar sesama sendiri.
Lebih mengerikan dalam kejadian membabitkan 10 kenderaan iaitu empat motosikal berkuasa tinggi dan enam kereta pada pukul 11.24 pagi itu, seorang daripada mangsa turut rentung apabila motosikal ditunggangnya terbakar.
Kemalangan ngeri itu bermula apabila dua motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha R-1 1,000 cc berhenti mengejut di lorong tengah lebuh raya berikutan banyak kenderaan di hadapan berhenti ekoran terdapat sebuah lori yang ditunda tergelincir dan melintangi jalan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian sebelum dirempuh sesama sendiri.
Sementara itu, AlloyMtd turut menasihatkan pengguna lebuh raya khususnya penunggang motosikal berkuasa tinggi agar tidak menjadikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 sebagai ‘litar latihan’.
“Aktiviti tersebut perlu dilakukan di tempat yang dikhususkan tanpa membahayakan pengguna lain kerana lebuh raya adalah untuk semua pengguna lain juga,” menurut kenyataan itu.