Search This Blog

Saturday, October 18, 2014

Langgar lari, warga emas maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Oktober 2014


TUMPAT – Seorang warga emas berketurunan Siam maut dalam kejadian langgar lari semasa mengayuh basikal di kilometer 1.4 Jalan Chabang Empat–Chabang Tiga Berangan dekat Wat Kok Seraya, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, mangsa, Eh Dong A/L Chau Wan, 74, dari Kampung Kok Seraya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang basikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Seraya di sini dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kereta.

“Mangsa dari arah Chabang Empat menghala ke rumahnya. Apabila tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.

“Kereta tersebut datang dari arah sama dengan mangsa dan lokasi kejadian tidak jauh dari rumah mangsa," katanya.

Zaharudin berkata, akibat kemalangan itu, mangsa terseret ke depan kira-kira 50 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 untuk membantu siasatan kemalangan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment