Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Lagi pegawai kanan kastam didakwa



R.Thevakumar (menutup muka) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Seorang lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, masing-masing atas pertuduhan menerima wang RM1,000 dan bersubahat dengan seorang pegawai kanan kastam membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang rasuah berjumlah RM10,000.
Penguasa Kastam, R. Thevakumar, 38, dan ahli perniagaan, Ooi Geim Leong, 41, masing-masing mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mah­kamah Sesyen berasingan hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 29 pegawai kastam termasuk Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Mohd. Nasir Said dan Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot serta seorang orang awam telah dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai eksais.
Thevakumar yang bertugas di bahagian import dan eksport Cawangan Pelabuhan Selatan JKDM Bagan Dalam, Pulau Pinang didakwa me­nerima tanpa balasan, wang RM1,000 melalui akaunnya daripada seorang individu yang mempunyai urusan dengan jabatan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Bhd. (Maybank), Jalan Manis Enam, Taman Segar, Cheras di sini pada pukul 3.55 petang, 14 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Husmarudin Husin mengemukakan pertuduhan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, Geim Leong yang mempunyai gudang didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Som Chit Tiang dengan membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang rasuah berjumlah RM10,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di AmBank Taman Connaught, Cheras di sini antara 29 Oktober 2013 dan 9 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Hus­marudin mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Som Chit yang telah dituduh dengan empat pertuduhan pada Isnin lalu, didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang individu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu lain atas kesalahan melibatkan arak yang tidak dibayar cukai kastam.
Husmarudin mencadangkan Thevakumar dan Geim Leong diikat jamin masing-masing RM5,000 dan RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan Thevakumar diikat jamin RM5,000 manakala Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Geim Leong diikat jamin RM12,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah turut menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_01/Lagi-pegawai-kanan-kastam-didakwa#ixzz3F7bGqpMw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment