Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Kes mereka kian membimbangkan



ANTARA keratan Utusan Malaysia memaparkan kes rompakan melibatkan penjenayah warga Amerika Latin.
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pelik tetapi itulah hakikatnya apabila sebahagian warga Amerika Latin sanggup menempuh perjalanan hampir 19,000 kilometer dan mengambil masa lebih 30 jam untuk ke negara ini semata-mata mahu melakukan jenayah.
Mereka juga menghabiskan wang antara RM3,000 ke RM10,000 untuk kos perjalanan, tetapi perkara itu bukanlah penghalang kerana wang yang dibelanjakan dapat ‘digandakan’ dengan mudah di Malaysia.
Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dalam tempoh 2010 sehingga setakat ini, sebanyak 289 warga Amerika Latin dari enam negara iaitu Colombia, Peru, Argentina, Guatemala, Mexico dan Costa Rica telah ditangkap membabitkan pelbagai kesalahan jenayah di seluruh negara.
Kata kenyataan itu, daripada jumlah tersebut, warga Colombia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 198 orang.
“Mereka terdiri daripada 266 lelaki manakala bakinya wanita yang terlibat dengan jenayah seperti samun berkawan tanpa senjata, curi kenderaan, curi dan pecah masuk kediaman mewah.
“Lebih merisaukan, rekod jenayah yang dilakukan warga Amerika Latin ini paling ketara melibatkan jenayah curi dan pecah rumah," ujar kenyataan itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, tangkapan membabitkan penjenayah warga dari Amerika Latin saban tahun merekodkan peningkatan dengan pada 2010 mencatatkan sebanyak lima kes diikuti 2011 (20 kes); 2012 (16 kes) dan tahun lalu berjumlah 142 kes.
“Malah dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, tangkapan sudah merekodkan 106 suspek melibatkan warganegara dari benua tersebut," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, dalam tempoh sama, Selangor merekodkan peningkatan tangkapan ketara dengan 2010 menunjukkan tiada sebarang tangkapan, disusuli 2011 (1), 2012 (2); 2013 (72) dan Januari lalu sehingga kini (85).
“Pada 2013 pula mencatatkan penangkapan yang paling tinggi jika dibandingkan dengan beberapa tahun sebelumnya iaitu sebanyak 142 suspek dengan jumlah tangkapan di Selangor paling ramai iaitu 72 suspek, Negeri Sembilan (25), Kuala Lumpur (16), Pulau Pinang (13), Pahang (11), Kedah (3) dan Perak (2).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141004/je_01/Kes-mereka-kian-membimbangkan#ixzz3F7bR6t6Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment