Anggota forensik bomba ketika melakukan pemeriksaan di bengkel berkenaan, semalam.
Anggota forensik bomba ketika melakukan pemeriksaan di bengkel berkenaan, semalam.
MALIM - Dua pemilik bengkel kenderaan rugi lebih RM400,000 apabila premis mereka di Kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana Malim Jaya, di sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran di bengkel terletak di Jalan Suria 4 itu turut merosakkan tujuh kenderaan dalam kejadian kira-kira 11.45 malam.

Pemilik membaiki kenderaan, Foo Chin Fat, 59, berkata, selain empat kenderaan miliknya dan pelanggan musnah, dia juga terpaksa berputih mata apabila wang tunai sebanyak RM4,000 yang sepatutnya digunakan untuk membeli stok baharu, hangus.

“Proton Wira dan motosikal milik saya musnah bersama Perodua Kancil dan lori milik pelanggan yang dihantar ke sini semalam (kelmarin). Saya juga sudah sediakan RM4,000 untuk membeli barang tapi tak sempat diselamatkan.

“Saya hanya tahu mengenai kejadian ketika di rumah selepas dihubungi jiran kedai bertentangan kira-kira jam 12 tengah malam," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai mengecat kenderaan, Ong Hok Hin pula berkata, dia rugi lebih RM300,000 apabila bengkel bernilai RM160,000 itu yang dalam proses pindah milik, musnah.

“Di dalam bengkel terdapat kenderaan milik pelanggan termasuk kereta antik Austin dan Proton Saga selain Toyota SEG yang dihantar pelanggan semalam,” katanya.

Menurut Hok Hin, dia ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila banyak kejadian berlaku terhadapnya termasuk sudah kehilangan bapanya sejak seminggu lalu menyebabkan dia jarang datang ke bengkel kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Abdul Razid Karim berkata, lima kereta dan masing-masing sebuah lori dan motosikal musnah di kedua-dua premis berkenaan.

“Kita tiba di lokasi selepas menerima panggilan dari orang awam sebelum berjaya mengawal api daripada terus merebak ke premis lain.

“Ketika sampai, api sudah marak di kedua-dua premis.  Bagaimanapun dengan kekuatan 20 anggota dari balai Jalan Kubu dan Ayer Keroh, kerja-kerja pemadaman dapat dilakukan sebelum kebakaran padam sepenuhnya pada 12.40 malam,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian membabitkan kedua-dua premis dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.