KUALA LIPIS - Hasrat dua pekerja lori ikan untuk membawa bekalan berkenaan ke sebuah pasar raya di Lipis tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di sini kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu Shahrul Affendi  Rajuli, 32, bersama seorang kelindan Fadil Ajiz, 35, dalam perjalanan dari Jerantut ke Kuala Lipis.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian di Kilometer 37 jalan Lipis-Jerantut berhampiran Kampung Mela, dekat sini, lori yang dipandu Shahrul Affendi hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Lori terbabit dipercayai gagal dikawal ketika menuruni bukit dan berselekoh sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung kira-kira 30 meter.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan namun Fadil disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan hospital berkenaan akibat parah bahagian dalaman,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, mayat Fadil dibawa ke rumah mayat Hospital Jerantut untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta tampil di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.