Malah kegiatan yang dilindungi kumpulan ‘tonto’ bersenjata api itu menyebabkan kesukaran kepada penguat kuasa menjalankan pemantauan di lokasi.
Ketua Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Rahim berkata, pihaknya memandang serius kegiatan pembalakan haram ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha atau individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, sikap syarikat-syarikat pembalakan terbabit yang tetap berdegil dan terus menjalankan aktiviti pembalakan sebelum lesen dikeluarkan walaupun telah diberi amaran menyebabkan pembalakan haram berterusan.
“Tahun ini sahaja, dua kes membabitkan pembalakan haram telah didakwa di mahkamah.
“Sebanyak 128 kes lagi melibatkan kesalahan hutan seperti me­nebang pokok tanpa kebenaran, memasuki hutan simpan tanpa permit dan membuang sampah dalam hutan simpan kekal.
“Daripada jumlah itu, 17 kes tersebut telah dibawa ke mahkamah, 71 kes diarahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk siasatan lanjut dan 11 kes telah dikompaun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahman seterusnya memberitahu, Jabatan Perhutanan hanya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen tetapi keputusan memilih syarikat mana yang layak mendapatkan lesen tersebut dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kebiasaannya syarikat pembalakan yang mendapat lesen akan menjalankan aktiviti ini sekurang-kurangnya enam bulan atau tiga tahun mengikut syarat yang ditetapkan.
“Jika tamat tempoh lesen tersebut, syarikat-syarikat ini perlu membuat permohonan lesen yang baharu.
“Segala permohonan lesen akan dibincangkan oleh Exco kerajaan negeri dan kami hanya mengeluarkan lesen sahaja,” ujarnya.