Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Kaya paip cetak rompak


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan paip air memperoleh keuntungan berpuluh ribu ringgit sebulan hasil kegiatan menjual paip ‘cetak rompak’ menggunakan label dan jenama tempatan bermutu tinggi.
Lelaki berusia 40-an itu yang membuka premis di Segambut di sini, dikesan membawa masuk paip jenis Polyethelene Aluminium Composite (PAC) buatan China sebelum ditampal dengan label jenama tempatan untuk mengelirukan pelanggan.
Suspek yang melakukan penipuan licik itu dikesan menjual paip ‘cetak rompak’ itu pada harga lebih murah berbanding paip jenama tulen di pasaran.
Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur susulan aduan pemilik cap dagang tulen yang mengalami kerugian kesan dari penipuan itu.
Seramai 14 pegawai KPDNKK bertindak menyerbu premis suspek itu jam 3 petang semalam.
Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, sebanyak 750 gelung paip berjaya dirampas daripada premis terbabit selepas didapati menggunakan jenama tempatan dipalsukan.
Katanya, paip itu dibawa masuk daripada negara China, tetapi dilabelkan menggunakan jenama tempatan sebelum dijual kepada peniaga tempatan.
“Jumlah rampasan paip bermutu tinggi ini dianggarkan bernilai RM524,200 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.
“Penjualan barangan tiruan kini bukan sahaja menjurus kepada pakaian ataupun aksesori seperti beg dan kasut, tetapi kini beralih kepada produk peralatan pembinaan seperti paip air ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa untuk mencegah kegiatan penjualan produk tiruan daripada berleluasa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

No comments:

Post a Comment