Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Kanak-kanak tergelincir kolam meninggal dunia


MOHD ISKANDAR OTHMAN
14 Oktober 2014


GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sebelum ini dilaporkan tergelincir ke dalam kolam renang di sebuah kondominium di Bandar Baru Ayer Itam pada 6 Oktober lalu meninggal dunia, hari ini.

Ooi Zhi Ting meninggal kira-kira jam 1.05 petang selepas lapan hari berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikatakan mengikut ibunya ke kondominium berkenaan untuk berjumpa rakannya.

Difahamkan, mangsa kemudian bersama sekumpulan remaja berusia dalan lingkungan 15 dan 16 tahun yang juga anak rakan ibunya turun ke kawasan kolam renang.

Bagaimanapun, mangsa yang dikatakan berjalan seorang diri berhampiran kolam dipercayai tergelincir dan terjatuh lalu lemas.

Semasa kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa dilaporkan sudah berada dalam keadaan kritikal dan tidak bermaya dipercayai akibat tertelan air.

Sementara itu, difahamkan keluarga mangsa akan mendermakan semua organ kanak-kanak berkenaan kepada hospital.

Mereka yang dilihat masih bersedih di pekarangan Unit Forensik Hospital Pulau Pinang enggan ditemui media.

No comments:

Post a Comment