Jurujual dilarikan empat lelaki belum ditemui
BATU GAJAH - Seorang jurujual wanita masih belum ditemui selepas dilarikan sekumpulan empat lelaki di sebuah stesen minyak di sini, 4 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, abang mangsa dipercayai sedang menunggu adik perempuannya yang berusia 22 tahun di tandas stesen minyak tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketika mangsa ingin masuk ke dalam kereta abangnya, tiba-tiba mangsa ditarik sebelum dilarikan kumpulan lelaki terbabit menggunakan kereta jenis Perodua Myvi.

“Abang mangsa yang bekerja sebagai operator kilang segera membuat laporan polis di Balai Polis Pusing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, sehingga semalam, mangsa masih belum ditemui selepas 10 hari dilarikan kumpulan lelaki terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Sehubungan itu, kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung orang hilang itu, mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Inspektor Mohd Razalee Mohd Yatim di talian 05-362 9222 sambungan 9070,” katanya.