BAGAN SERAI - Beberapa jemaah di Masjid Tinggi di sini, terkejut menemui sebuah kereta hangus di dalam semak di tepi Surau Kampung Baru, Jalan Banjar, minggu lalu.

Saksi kejadian enggan dikenali berkata, kira-kira jam 6 pagi, dia bersama beberapa jemaah yang tiba di pekarangan surau ternampak sebuah kereta jenis Proton Wira hangus dalam semak berhampiran.

Menurutnya, dia bersama rakan jemaah lain segera memaklumkan insiden itu kepada polis kerana bimbang terdapat unsur jenayah.

“Laporan dibuat disebabkan saya bimbang kebakaran kereta itu membabitkan nyawa individu lain,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superitendan Mohd Ridzwan Bachik ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kereta itu dibakar individu tidak bertanggungjawab dan ditinggalkan di lokasi kejadian hampir seminggu lalu.

“Siasatan masih dijalankan memandangkan pemeriksaan terhadap nombor enjin dan casis kenderaan tidak menunjukkan sebarang rekod kehilangan atau dicuri.

“Mana-mana individu yang kehilangan kereta diharap tampil ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.