Din (dua, kanan) menunjukkan parang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun.
Din (dua, kanan) menunjukkan parang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun.
BATU PAHAT – Selepas dua jam menyamun sebuah kedai, seorang lelaki ditahan setelah jaket hitam yang dipakai ketika menyamun berjaya dikenal pasti pihak polis.

Dalam kejadian 17 Oktober lalu, kira-kira jam 4.45 petang, mangsa yang sedang mengemas kedai didatangi seorang lelaki bersenjatakan parang dan terus mengugutnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, setelah memasuki kedai, suspek terus mengacukan parang yang dibawanya ke leher mangsa.

Katanya, mangsa yang takut dengan keadaan berkenaan terus mengeluarkan wang yang berada di kaunter dan menyerahkannya sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Mangsa terus menghubungi polis sebaik suspek pergi dan menyatakan pakaian dipakai suspek seperti topi keledar, jaket serta motosikal ditunggangnya," katanya.

Menurutnya, dua jam selepas kejadian, unit rondaan MPV berjaya menemui suspek yang sedang berteduh daripada hujan di bawah sebuah jejantas berdasarkan jaket hitam dipakainya.

“Jaket yang dipakai sama seperti yang digambarkan  mangsa kes samun ketika membuat aduan,” katanya.

Menurut Din, hasil siasatan, suspek mengaku melakukan samun terhadap mangsa dan ditahan unit MPV berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, turut ditemui bersama suspek sebilah parang, dua telefon bimbit, wang kertas berjumlah RM20 dan syiling berjumlah RM20.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, selain boleh dikenakan denda dan sebatan.

“Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau selain positif ujian dadah. Polis berharap orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian jenayah supaya penjenayah ditangkap segera,” katanya.