Ketua Pengarah­nya, Datuk Prof. Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim (gambar) ber­kata, jabatan tersebut mengambil sikap terbuka jika pihak berkuasa terutama Su­ruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyiasat pegawai-pegawainya.
Jelas beliau, langkah itu selaras dengan semangat integriti jabatannya dalam menjamin tiada unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berlaku terutama melibatkan khazanah milik negara iaitu hutan.
“Pada saya, sistem (pelaksanaan) sudah betul, yang tidak betul itu adalah faktor manusia, kalau 10 (melakukan penyelewengan), takkanlah satu jabatan dipersalahkan. Mereka yang sedikit ini perlu diperangi.
“Sememangnya ada pegawai yang tidak betul tetapi kita perlu menangkap mereka menggunakan ruang undang-undang yang wujud. Di samping itu, kita kena bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memantapkan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan eksklusif Utusan Malaysia hari ini berhubung kegiatan pembalakan haram di seluruh negara yang semakin serius angkara perbuatan rasuah berleluasa dan ketirisan melibatkan penguat kuasa agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Abd. Rahman menjelaskan, terdapat perbezaan antara pembalakan haram dan langkah kerajaan membersihkan hutan bagi tujuan pembangunan.
Katanya, orang ramai tidak seharusnya keliru dengan langkah pembersihan hutan untuk tujuan pembangunan dilakukan dengan segera bagi mempercepatkan proses kemajuan sesuatu kawasan.