Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Hasil jualan RM12,000 lesap


Kajang: Seorang pemilik sebuah restoran ‘berputih mata’ apabila wang hasil jualan RM12,000 dirompak dua penjenayah bersenjatakan parang di Mahkota Cheras, di sini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang kelmarin, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke bank berhampiran tempat kerjanya untuk memasukkan wang.


Difahamkan, mangsa berusia 33 tahun itu merancang mahu memasukkan wang itu pada petang hari sebelumnya namun membatalkan hasrat berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa mendakwa dihampiri dua lelaki menaiki motosikal memakai topi keledar berpenutup penuh.


“Seorang suspek mengacukan sebilah parang mengugut mangsa menyerahkan beg dibawa berisi wang tunai itu.


“Bimbang dicederakan, mangsa terpaksa menyerahkan beg berkenaan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, wang berkenaan adalah hasil jualan selama empat hari restoran di bawah kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment