Mohd Fazil dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Mohd Fazil dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Malang berganda bagi seorang buruh yang bukan sahaja berputih mata apabila tidak sempat merasai ‘habuan’ hasil mencuri rim sport kereta, malah dia juga terpaksa meringkuk di penjara selama tiga bulan kerana jenayah berkenaan.

Mohd Fazil Md Ali, 29, dari Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah mencuri sebuah rim sport kereta milik seorang peniaga kedai makan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dia mengaku salah curi rim sport kereta milik Shamsudin Abdul Rahman, 41, pada 15 Oktober lalu, kira-kira jam 1.15 petang, di tepi rumah di Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini.

Dengan itu, Mohd Fazil mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum ternampak kelibat Mohd Fazil yang ketika itu berada di tepi dapur dalam kawasan  rumahnya sambil memegang rim sport kereta miliknya.

Yakin niat Mohd Fazil hendak mencuri, mangsa tanpa membuang masa terus menangkapnya dengan dibantu anak lelakinya yang secara kebetulan berada di rumah semasa kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.