Search This Blog

Saturday, October 4, 2014

Guru wanita mati ditikam di kepala


RANAU 3 Okt. - Seorang suami hanya mampu ‘terduduk' dan bersedih apabila kepulangannya ke rumah ‘disambut' dengan sesuatu mengejutkan apabila melihat isterinya terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka dekat Kundasang dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Masinah Samadi, 50, seorang guru di sebuah sekolah rendah, ditemukan suaminya yang kebetulan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Menyedari perkara itu, si suami yang enggan namanya didedahkan segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Salehudin Abdul Rahman berkata, sepasukan anggota forensik telah bergegas ke tempat kejadian dan berdasarkan siasatan awal, terdapat kesan umpilan di bahagian pintu dapur rumah mangsa yang disyaki dimasuki penjenayah.
"Mangsa ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan badannya.
"Motif awal kejadian adalah dipercayai rompakan dan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daerah Ranau untuk bedah siasat.
"Tindakan untuk memburu suspek terlibat sedang giat dilaksanakan oleh pihak polis.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta segera tampil bagi membantu siasatan," jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141004/je_04/Guru-wanita-mati-ditikam-di-kepala#ixzz3F7c6g3Fi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment