LEDANG – Sekumpulan enam penjenayah warga Indonesia memakai tangkal untuk memukau sebelum pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini, sejak Ogos hingga Oktober ini.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila mereka ditahan polis dalam serbuan Ops Rantau di sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit di Jalan Gentian, Sawah Ring, dekat Bukit Gambir, 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, serbuan sekumpulan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Balai Polis Bukit Gambir dan Balai Polis Gersik itu mendapati tangkal itu dipakai tiga suspek.

Katanya, penjenayah terbabit diberkas tiga jam selepas menyamun sebuah rumah di Gersik, enam kilometer daripada tempat persembunyian mereka.

“Semasa serbuan, kesemua suspek sedang tidur dan kejayaan ini hasil maklumat serta risikan dilakukan selama seminggu.

“Serbuan ini membawa penemuan beberapa barangan seperti wang tunai pelbagai negara yang dianggarkan bernilai RM1,500, lima bentuk cincin, tiga gelang tangan, seutas rantai leher, enam jam tangan pelbagai jenama, 13 telefon bimbit dan enam dompet,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.
Mohd Salleh berkata, pihaknya turut menemui empat bilah parang, satu pemutar skru, satu pemotong besi, dua topeng muka dan satu pahat yang dipercayai digunakan ketika melakukan samun dan pecah rumah.

Katanya, suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun termasuk seorang wanita berasal dari Lombok, Indonesia yang sudah berada di negara ini, sejak 2012.
“Tiga daripada mereka mempunyai dokumen pas lawatan sosial, tetapi tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun itu merupakan isteri salah seorang penjenayah terbabit, tetapi ketika serbuan, suaminya tiada di pondok berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bebas dadah.