BANDARAYA MELAKA - Pengawal keselamatan yang ditemui parah dengan kedua-dua tangan dan ibu jari kaki diikat dalam satu kejadian samun di sebuah sekolah memandu Rabu lalu, disahkan meninggal dunia pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa Omar Yusof, 63, meninggal dunia jam 11 pagi semalam di Hospital Melaka selepas enam hari bertarung nyawa.

“Sejak hari kejadian mangsa ditempatkan di Zon Merah Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia jam 11 pagi semalam.

“Kes kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha memburu ketiga-tiga suspek masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini,  semalam.

Pada 16 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal keselamatan cedera parah di kepala selepas dipukul dengan sebatang kayu dalam kejadian samun di sebuah sekolah latihan memandu di Kandang, di sini, semalam.

Mangsa dikenali Omar, 50-an turut diikat pada badan dan tangan pada kejadian yang difahamkan berlaku kira-kira jam 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Adzis Shaikh Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira jam 7.15 pagi.

“Mangsa difahamkan cedera di bahagian belakang dan siasatan lengkap akan dijalankan,” katanya.