Search This Blog

Saturday, October 11, 2014

Ebola mungkin menjadi seperti wabak AIDS



SEORANG pekerja lapangan terbang memakai topeng mulut dan hidung di terminal ketibaan Lapangan Terbang Los Angeles , AS kelmarin. - AFP


NEW YORK – Seorang pegawai kesihatan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran langkah drastik perlu bagi menghalang virus Ebola menular menjadi epidemik global seperti AIDS.
Ketua Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) juga meramalkan bilangan kes demam Ebola meningkat kepada 1.4 juta orang pada Januari tahun depan melainkan langkah tegas dilakukan untuk menangani virus maut itu.
“Kita perlu bekerja keras dari sekarang supaya Ebola tidak menjadi seperti AIDS. Sejak 30 tahun bekerja dalam bidang kesihatan awam, hanya satu penyakit yang menyerupai Ebola dan ia adalah AIDS,” kata ketua CDC, Dr. Tom Frieden.
Sementara itu, seorang jururawat Sepanyol yang menghidap Ebola, Teresa Romero kini berdepan risiko kematian.
“Wanita itu tenat selepas dijangkiti virus maut itu,” kata seorang pemimpin Sepanyol, Ignacio Gonzalez di Parlimen negara itu.
Romero, 44, adalah orang pertama yang dijangkiti wabak itu di Eropah.
Wabak Ebola yang mengganas sejak awal tahun ini telah membunuh hampir 3,900 orang dan penularan virus itu ke AS dan Eropah menyebabkan beberapa negara seperti AS, Kanada dan Britain mula melaksanakan pemeriksaan lebih ketat di lapangan terbang terutamanya melibatkan penumpang dari Afrika Barat.
Di AS pula, kematian seorang mangsa terbaharu Ebola, Thomas Eric Duncan pada Rabu lalu menyebabkan pegawai-pegawai AS diarahkan meningkatkan pe­meriksaan di lima lapangan terbang iaitu di Atlanta, Chicago, New Jersey, New York dan Washington.
Kerajaan Britain turut mengambil langkah serupa di lapangan terbang utama negara itu seperti Heathrow dan Gatwick selain turut memeriksa penumpang yang menaiki kereta api laju Eurostar dari Belgium dan Perancis. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3FmnwA4ib 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment